KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan pada Oktober 2017 terus mencatatkan peningkatan kukuh 11 peratus dengan nilai jualan RM66.3 bilion berbanding RM59.7 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan berkata, tahun ke tahun, peningkatan nilai jualan pada bulan Oktober 2017 didorong oleh peningkatan dalam semua subsektor terutamanya kumpulan produk peralatan elektrik dan elektronik (7.5%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18.0%) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (7.9%).
Ketiga-tiga subsektor ini menyumbang 80.1 peratus kepada nilai jualan sektor pembuatan.
Jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Oktober 2017 adalah seramai 1,053,335 orang, meningkat sebanyak 2.4 peratus atau 24,194 orang berbanding 1,029,141 orang pada Oktober 2016.
Jumlah gaji & upah yang dibayar meningkat sebanyak 9.6 peratus (RM311.3 juta) kepada RM3,541.7 juta, sekali gus mencatatkan purata gaji & upah setiap pekerja sebanyak RM3,362 pada Oktober 2017.
Nilai jualan per pekerja meningkat sebanyak 8.5 peratus kepada RM62,956 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette