Najib Razak

KUALA LUMPUR – Sektor awam perlu bergerak lebih pantas ke arah inovasi dan melakukan perubahan segara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dinyatakan oleh perintis Internet, Steve Case dunia kini memasuki Gelombang Ketiga, yang mana teknologi digital dan Internet meninggalkan infrastruktur tradisional kepada pengawalseliaan tinggi dalam sektor kesihatan, tenaga, pengangkutan dan kewangan.

“Sekiranya Steve Case adalah benar maka sektor awam perlu menjadi lebih inovatif kerana inovasi sektor swasta bergantung kepada kerajaan.

“Jika kita mahu teknologi yang sedang berkembang ini digunakan dalam sektor-sektor penting seperti kesihatan, kewangan, tenaga dan pengangkutan, jadi kita perlu membantu para usahawan dan saintis untuk lebih memahami rangka kerja pengawalseliaan.

“Pengawalseliaan adalah halangan terbesar tetapi ia juga pemacu utama kehadiran gelombang baharu itu.

“Pelaksanaannya sangat kritikal,” katanya ketika merasmikan Persidangan Komuniti Usahawan Global 2017 di sini hari ini.

Menurut Najib, kerajaan juga perlu berubah dan disebabkan itu beliau mengumumkan penubuhan Pusat-Pusat Nilai Inovasi di setiap kementerian.

Diketuai oleh Ketua Pegawai Nilai Inovasi, pusat-pusat ini menggunakan perkakasan serta metodologi lautan biru bagi menghasilkan idea-idea kreatif dan inovatif.

Mereka juga perlu membantu sektor swasta atau menjadi rakan kongsi permulaan untuk menyelesaikan masalah.

“Ini akan memecahkan budaya silo,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast