KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor memandang serius tindakan pemilik Rumah Selangorku yang memberi sewa kediaman itu kepada orang lain dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, Rumah Selangorku dijual khusus kepada mereka yang memerlukan rumah, bukan untuk disewakan kepada pihak lain.
Katanya, beliau menerima laporan mengenai tindakan tidak bertanggungjawab pemilik rumah itu dan siasatan akan dilakukan sebelum tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.
“Kita dapati pemilik rumah ini memberi sewa kepada orang lain selepas beberapa tahun membelinya. Sedangkan Rumah Selangorku adalah untuk golongan yang benar-benar memerlukan kediaman.
“Kerajaan negeri jual Rumah Selangorku pada harga di bawah kos pembinaan. Jadi, tidak elok pemilik memberi sewa semata-mata untuk mendapatkan pulangan modal atau keuntungan.
“Kita akan ambil tindakan tegas kerana tindakan pemilik ini juga secara tidak langsung telah menafikan hak mereka yang benar-benar memerlukan kediaman mampu milik,” katanya dipetik portal Selangorkini, semalam.
Menurut Iskandar, beliau telah memohon kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk mengkaji tindakan yang boleh diambil ke atas pemilik berkenaan.
Kata beliau, pemilihan pemohon yang memohon membeli Rumah Selangorku dibuat berdasarkan sistem merit seperti mengambil kira faktor umur, pendapatan, taraf perkahwinan, jenis kediaman sekarang dan jenis majikan.
“Kita tidak mahu amalan rumah kos rendah diagihkan kepada pemimpin politik untuk dijual semula atau disewa berulang kembali memandangkan harga pasarannya dianggarkan RM250,000, manakala 142,057 pemohon mendaftar untuk membeli Rumah Selangorku.
“Nama pembeli adalah seperti disediakan LPHS tanpa campur tangan politik, malahan surat sokongan daripada pemimpin politik bukan satu keperluan.
“Dengan keadaan terkini, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan supaya pembeli Rumah Selangorku menandatangani perjanjian tambahan untuk memastikan rumah yang dibeli bagi kegunaan sendiri.
“Kerajaan Negeri pernah sebelum ini memaparkan nama mereka yang ditawarkan Rumah Selangorku pada laman sesawang LPHS supaya ia telus dan memberi peluang kepada mereka yang tidak berpuas hati untuk membuat bantahan. Mungkin ia akan dilaksanakan semula,” katanya. – MalaysiaGazette