Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berucap pada sidang media mengenai kadar kemalangan di negara ini di Ibu Pejabat PPIM, Taman Datuk Keramat; Kuala Lumpur. foto ADIB RAMLI; 15 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK) meramalkan jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tahun hadapan boleh mencecah kepada sejuta kenderaan.

Menurut Pengerusinya, Mohammad Hisham Shafie, ia berdasarkan kepada jumlah kemalangan yang direkodkan tahun lalu sebanyak 521,466 kes.

“Saya tidak nafikan bahawa pada tahun depan, jumlah kenderaan yang terlibat kemalangan mungkin melebihi satu juta.

“Tahun lepas sahaja sudah 960,569 melibatkan 7,152 kemalangan jalan raya,” katanya pada sidang media bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Hadir sama, bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad.

Ke arah untuk mengurangkan kadar kemalangan, PPJK akan menjalankan misi bagi mengenalpasti punca kemalangan di jalan-jalan persekutuan.

Misi selama empat hari itu bakal merangkumi perjalanan sejauh 3,000 kilometer di sekitar jalan-jalan persekutuan melalui 36 buah bandar di seluruh negara.

Usaha itu digerakkan PPIM dan PPJK bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai punca kemalangan dan keadaan jalan yang sering berlaku kemalangan dan meragut nyawa.

“Sepasukan sembilan penunggang motosikal akan menjelajah seluruh negara dan setiap satu jam akan buat log, dan akan hantar laporan kepada kita.

“Setiap perjalanan akan direkod untuk mendapatkan maklumat sama ada jalan itu berlubang, gelap, dan selepas itu kita akan kumpul semua itu dan akan dikongsi kepada umum,” katanya.

Program ini adalah kerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Patriot Negara (PPN).

“Kita mengharap input yang baharu bagi kita memberi maklumat kepada pihak berkuasa bagi mengatasi masalah yang melibatkan kematian yang tidak masuk akal dan merugikan. Ini sempena musim cuti sekolah antara musim yang paling tinggi berlakunya kadar kemalangan,” kata Nadzim lagi. -MalaysiaGazette.