KUALA LUMPUR – Seramai 130,000 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah dikerah untuk bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, para anggota polis disiapsiagakan dalam lima fasa latihan amal, termasuk berkaitan undang-undang umum dan peraturan pilihan raya.

Menurutnya, persediaan ini turut membabitkan unit khas seperti Pasukan Anti Rusuhan (PORU) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Kita telah selesai menjalani lima fasa dan sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Kita juga akan lihat kekurangan dan apa lagi penambaikan yang perlu dilakukan pada pihak kami. Sekiranya ada keperluan kita akan menggunakan agensi kerajaan yang lain. Buat masa ini, saya rasa tidak ada keperluan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Latihan Amal fasa ke-5 hari ini.

Meskipun tarikh pilihan raya belum diumumkan, semua tenaga kerja PDRM telah bersedia dalam usaha menghadapi lima fasa iaitu sebelum pengumuman tarikh, hari penamaan calon, musim kempen, hari pengundian dan selepas pengundian.

Tambah Zulkifli, pihak polis juga telah membuat latihan ketenteraman awam membabitkan semua pasukan dalam PDRM dan latihan bersepadu dengan agensi keselamatan berkaitan sebagai persediaan dalam menangani isu ketenteraman awam.

Dalam pada itu, Zulkifli menyeru orang ramai supaya berhati-hati dalam menggunakan teknologi seperti penyebaran maklumat melalui laman sosial yang boleh memudaratkan keselamatan.

“Ketika ini, kita juga menghadapi cabaran pada era teknologi moden kerana penyebaran pelbagai maklumat yang tidak benar pada masa yang sama boleh memudaratkan keselamatan.

“Penyebaran maklumat palsu boleh menyusahkan pelbagai pihak dan kita perlu ingat, menjalani proses pilihan raya dengan aman dan tenteram adalah hak milik semua. Janganlah kita merosakkan hak tersebut dengan penyebaran maklumat yang mendatangkan kemudaratan,” ujarnya. – MalaysiaGazette