KUALA LUMPUR – Kereta BMW putih yang videonya tular dalam media sosial dan sedang diburu polis kerana terlibat dalam kes pembunuhan di Johor Bahru memiliki sebanyak lima saman kerana memandu melebihi had laju.

Hasil semakan mendapati dua saman terkini pada 19 Februari dan 25 Mei tahun ini, masing-masing dicatatkan di Kluang dan Johor Bahru Utara.

Semalam, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an – dipercayai isterinya – sedang mengisi angin tayar kereta jenis Volkswagen mereka di stesen berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kedua-duanya kemudian secara tiba-tiba didatangi empat lelaki yang cuba menarik mangsa masuk ke kereta jenis BMW mereka.

Namun mangsa dilaporkan melawan dan akibat daripada itu, berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

Melihat kejadian itu, wanita yang bersama mangsa terus melarikan diri meminta bantuan orang awam.

Polis kini sedang mengambil keterangan daripada wanita asing berkenaan yang dilaporkan masih trauma akibat kejadian itu.

Motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette