Jesse Lingard

ENGLAND – Manchester United tidak mempunyai pilihan lain kecuali mencatat kemenangan dalam baki 20 perlawanan untuk menjulang Piala Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pemain sayap skuad The Red Devils, Jesse Lingard mengakui ia satu-satunya cara yang ada untuk pasukannya mengecewakan pendahulunya Manchester City untuk bergelar juara musim ini.

Pemain antarabangsa England itu berkata, Manchester United tidak boleh keciciran mata dalam mana-mana perlawanan selepas ini.

Skuad Jose Mounrinho ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu yang juga jirannya Manchester City dalam carta liga.

Lingard menjaringkan gol dalam aksi menang 2-1 ke atas West Bromwich Albion untuk merapatkan kedudukan mata dengan City.

Bagaimanapun, Lingard percaya man United memerlukan rekod kemenangan 100 peratus dalam baki perlawanan untuk merampas gelaran kali ini.

Kali terakhir Man United menjulang kejuaraan EPL adalah bersama bekas pengurusnya, Sir Alex Ferguson pada musim 2012/2013 lalu.

“Setiap perlawanan adalah penting untuk kami selepas ini dan kami percaya dengan kekuatan skuad yang ada sekarang.

“Setiap perlawanan selepas ini adalah wajib menang untuk MU jika mahu bergelar juara,” katanya. – MalaysiaGazette