Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman enam individu bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, Ahad lepas.

JOHOR BAHRU – Pasukan Siasatan Khas PDRM telah menahan dua orang awal pagi ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, mereka yang ditahan masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 19 dan 22 tahun.

“Pada 2.30 pagi ini, disahkan bahawa Team Siasatan Khas PDRM telah membuat tangkapan terhadap dua orang berusia dalam linkungan 19 dan 22 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Ahad, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati ditikam dan dilanggar sekumpulan empat lelaki menggunakan sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam ketika mangsa bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Khalil mengingatkan kepada mereka yang menyebarkan berita palsu, tidak benar, tidak berkaitan dan tidak tepat berhubung kes itu yang dikhuatiri menimbulkan kekeliruan serta kegusaran orang awam boleh dikenakan tindakan.

Katanya, tindakan boleh diambil Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali kerana telah menimbulkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam. – MalaysiaGazette