Selebriti, Azwan Ali hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya bagi menyerahkan bukti salah laku rasuah individu dalam kerajaan negeri Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 DISEMBER 2017

PUTRAJAYA – Azwan Ali menyerahkan bukti-bukti berkaitan salah laku rasuah dan kemewahan secara melampau seorang individu yang dikaitkan dengan kerajaan negeri Selangor yang disimpannya lebih 30 tahun semenjak bergelar artis.

Walaupun enggan mendedahkan nama individu yang terlibat namun pengacara terkenal itu mendakwa yang dikemukakannya sebentar tadi merupakan bukti yang kukuh dan kuat.

Sebelum ini Azwan Ali mendakwa nekad untuk mahu membantu Barisan Nasional (BN) menggulingkan abangnya yang merupakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak datang sendirian, serius saya bawa bukti kuat dan kukuh. Saya tidak boleh beritahu siapa individunya ia sangat sulit kena tunggu dan lihat. Harus saya katakan benda semasa terlalu panas

“Saya bawa banyak bukti hari ini. Saya hadir untuk kes salah laku rasuah dan kemewahan melampau.

“Saya puas bersabar. Sepanjang saya bergelar artis. Aku dalam industri 30 tahun,” katanya kepada pemberita di lobi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azwan yang hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu pagi tadi turut memaklumkan proses keterangan dan menyerahkan bukti kepada pegawai siasatan berlangsung selama 50 minit dan akhirnya berjumpa dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki selama 10 minit.

Beliau dalam pada itu menegaskan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia dan muslim yang menentang sebarang bentuk perlakuan yang mencurigakan.

“Tetapi saya sebagai umat Islam, saya mencuba sedaya upaya menyempurnakan tanggungjawab saya untuk memperbetulkan situasi-situasi yang semakin mencurigakan.

“Amal makruf nahi mungkar… Berdirinya saya di sini kerana berpegang teguh sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab demi agama, bangsa dan negara,” tambahnya.

Sebelum ke SPRM Azwan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkenaan bukti rasuah individu dalam kerajaan negeri Selangor yang berada dalam simpanannya.

Namun Razali menasihatkannya untuk menyerahkannya ke SPRM. – MalaysiaGazette