Peguam, Faizal Rahman (dua kiri) berjalan masuk bersama wakil mangsa untuk menyerahkan laporan rasmi berkaitan mangsa penipuan syarikat MGSB bernilai jutaan ringgit di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Lebih 50 daripada 260 individu yang didakwa menjadi mangsa penipuan syarikat MGSB membuat aduan rasmi di Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Ia berhubung kerugian lebih RM12 juta gara-gara tawaran untuk menjadi rakan kongsi perniagaan strategik.

Aduan rasmi itu dibuat bersama syarikat guaman Faizal Rahman & Co yang dilantik oleh mangsa-mangsa dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Peguam yang mewakili mereka, Faizal Rahman ketika ditemui memberitahu, aduan rasmi kepada BNM itu dibuat selepas pihaknya mendapati wujud penipuan berdasarkan dokumen diberikan mangsa.

Katanya, syarikat itu menawarkan kepada mangsa-mangsa untuk menjadi rakan kongsi bagi dua projek iaitu import dan eksport kelapa ke luar negara pada Januari lepas manakala satu lagi projek merupakan pembangunan di Pulau Sirandah, Sumatera Barat pada Mei lalu.

Bagaimanapun, menerusi maklumat yang kita kumpul syarikat terbabit bukan menawarkan pelaburan, sebaliknya menawarkan kesemua mangsa untuk menjadi rakan kongsi dengan pulangan modal serta keuntungan antara 18 hingga 20 peratus setiap bulan.

“Tempoh pembayaran ini berbeza iaitu bagi projek import serta eksport kelapa, kesemua mangsa ditawarkan pembayaran keuntungan sehingga dua tahun manakala bagi projek pembangunan di Pulau Sirandah, mereka ditawarkan pembayaran keuntungan sama hingga 10 tahun,” katanya selepas menyerahkan dokumen aduan rasmi kepada wakil BNM.

Faizal Rahman

Faizal berkata, modal minimum yang dibayar mangsa sekurang-kurangnya RM10,000 manakala yang paling tinggi adalah sebanyak RM180,000.

Katanya, kebanyakan mangsa penipuan membabitkan projek pembangunan di Pulau Sirandah yang mana syarikat berkenaan langsung tidak pernah membayar walau satu sen kepada mangsa.

“Menerusi projek import eksport kelapa, hanya segelintir saja peserta sudah mendapat semula modal yang dibayar termasuk bayaran keuntungan bagi tempoh tiga bulan.

“Namun, bagi projek pembangunan di Pulau Sirandah, setakat ini syarikat itu langsung tidak membuat bayaran keuntungan kepada kesemua mangsa,” tambahnya.

Difahamkan, jumlah sebenar penipuan berkenaan adalah sebanyak RM40 juta membabitkan kira-kira 500 mangsa, namun setakat ini hanya 260 mangsa tampil membuat aduan ke syarikat guaman itu. – MalaysiaGazette