Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Shariff.

KUALA LUMPUR – Skim Peduli Sihat yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Selangor kepada rakyat negeri itu didakwa mengalami ketirisan.

Ia berlaku apabila penerima kad keahlian skim itu atau klinik panel yang terlibat memanipulasi kemudahan tersebut, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Shariff.

“Tujuannya murni untuk memberi pilihan kepada rakyat Selangor, tetapi berlaku ketirisan di mana boleh dimanipulasi oleh pesakit dan juga pihak klinik sendiri.

“Saya juga dimaklumkan bahawa mereka yang tiada masalah kesihatan pun pergi ke klinik panel untuk dapatkan ubat kerana sayang dengan peruntukan RM500 yang tidak dibelanjakan.

“Langkah bayaran yang dikenakan sekali rawatan RM50 juga boleh dipertikaikan kerana ia boleh diambil kesempatan oleh klinik seperti mengenakan kos rawatan dan ubat melebihi peruntukan yang diberikan.

“Inilah kelemahan skim tersebut dan menyebabkan berlaku pembaziran wang rakyat Selangor kepada perkara yang tidak sepatutnya,” katanya seperti dilapor sebuah laman portal pro Barisan Nasional.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa skim tersebut mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Shahrum turut berharap perkara itu dapat diambil serius oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan mencadangkan satu kaedah yang lebih efisien dalam menanganinya.

“Tapi bagi saya Kerajaan Pusat telah menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk rakyat dan menjadi bertindih apabila kerajaan negeri memperkenalkan skim ini,” katanya.

Pada tahun ini, Kerajaan Selangor dilaporkan memperuntukkan RM125 juta dengan memperkenalkan Skim Peduli Sihat kepada rakyat.

Skim itu memperuntukkan jumlah tahunan RM500 kepada setiap rakyat Selangor dengan modus operandinya dikenakan RM50 setiap kali mendapatkan rawatan di klinik swasta yang dilantik.

Peruntukan itu dijangka bertambah menjadi RM700 setahun pada tahun hadapan seperti mana yang dibentangkan pada Bajet Selangor 2018 lalu. – MalaysiaGazette