Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kontrak Yang Zhuliang sebagai Ketua Jurulatih Terjun Negara tidak dilanjutkan kerana secara tidak langsung ia menyebabkan wujudnya budaya ketakutan dalam kalangan atlet.

Budaya dan persekitaran itu mengundang kes rogol, gangguan seksual, keganasan, tindakan memukul, buli dan ugutan, kata Menteri Belia dan Sukan, kata Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun Zhuliang sendiri tidak terlibat dalam perkara tersebut namun selepas jurulatih tersebut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2017 mengikut Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol atlet terjun negara – persekitaran dan suasana latihan pasukan terjun kebangsaan menjadi lebih rumit.

“Selepas timbul kes rogol yang melibatkan jurulatih dan atlet terjun negara pada Oktober yang lalu, saya telah minta Datuk Marina Chin untuk melihat dan menyiasat bagaimana perkara seumpama ini dapat dielakkan daripada berlaku dalam sukan negara ini.

“Hasil siasatan beliau menunjukkan bahawa wujudnya budaya toksik diselubungi ketakutan atau culture and environment of fear merentasi hampir keseluruhan sukan terjun ini.

“Ini sebab utama saya tidak menyambung kontrak beliau dan adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Menteri Belia dan Sukan bukan sekadar untuk membuat dasar bagi mencapai kejayaan sukan Malaysia di peringkat tertinggi tetapi juga untuk menjaga kebajikan atlet negara dan melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

“Tiada mana-mana pingat emas yang nilainya lebih tinggi daripada keselamatan atlet negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Khairy berkata demikian sebagai merujuk kepada keputusan Institut Sukan Negara (ISN) untuk tidak melanjutkan perkhidmatan Encik Yang Zhuliang sebagai ketua jurulatih sukan terjun negara.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pihak ISN dan ASUM telah mengenal pasti seorang jurulatih dari Australia yang boleh membantu jurulatih sedia ada, Zhang Yukun menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih.

Jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, rombakan berkenaan akan memastikan persiapan atlet terjun untuk Sukan Komanwel dan Asia yang tidak terganggu.

“Seperti yang saya tegaskan dengan jelas dalam kenyataan ini, kebajikan dan keselamatan atlet terjun negara adalah keutamaan saya dalam keputusan ini.

“Tiada keutamaan yang lebih utama. Jika perlunya sebuah rombakan besar agar masa depan sukan terjun bebas daripada kes rogol, gangguan seksual, tindakan memukul, keganasan, buli dan ugutan maka itulah keputusan yang wajar dibuat,” tegas beliau.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mengakui kejayaan Zhuliang sebagai Ketua Jurulatih Terjun Malaysia tidak boleh dinafikan mana-mana pihak yang mana sejak dilantik sebagai Ketua Jurulatih pada tahun 2008 kerana telah berjaya membawa negara ke puncak kejayaan di pentas dunia.

Namun Khairy memberitahu, disebalik pencapaian sumbangannya itu, ada beberapa perkara yang menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak yang kemudian dirujuk kepada perhatiannya oleh pihak ISN, ASUM, dan MSN.

Justeru kata beliau tiga pihak itu membuat cadangan masing-masing dengan maklumat terperinci sebelum mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Zhuliang.

“Setelah itu, saya mengarahkan ISN untuk mengumumkan keputusan tersebut selain mengarahkan mereka supaya menjaga aib dan reputasi semua pihak agar pengumuman ini tidak membawa tanggapan negatif kepada sukan Malaysia.

“Mungkin disebabkan arahan itu, ISN tidak dapat memberi penjelasan yang lengkap dan terperinci. Ini sekaligus telah mengundang lebih banyak lagi persoalanan tentang nasib Zhuliang.

“Maka oleh kerana itu, saya tiada pilihan lain selain memberikan pendedahan penuh tentang perkara ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette