KUALA LUMPUR – Kakitangan awam wanita yang mengandung lebih lima bulan akan dibenarkan pulang sejam lebih awal mulai 1 Januari 2018.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 memaklumkan kemudahan itu diperuntukan kepada semua kakitangan tetap dan kontrak.

Kakitangan wanita mengandung dibenarkan menggunakan kemudahan ini pada bila-bila masa, bermula apabila beliau mengandung lima bulan dan ke atas, menurut pekeliling yang ditandatangani oleh Ketua Pengarahnya, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Kemudahan ini merupakan tambahan kepada cuti bersalin dan cuti menjaga anak yang diberikan kepada penjawat awam wanita, demi kebajikan dan keselamatan.

Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018, Oktober lalu.

Kemudahan itu merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada 1.6 juta penjawat awam.

Menurut Pekeliling itu, kemudahan tersebut turut dibenarkan jika suaminya juga penjawat awam dan bekerja dilokasi berhampiran dan isteri menaiki kenderaan yang sama untuk pulang dari tempat kerja.

Kakitangan terbabit dibenarkan memilik untuk menggunakan kemudahan itu atau Waktu Bekerja Berperingkat pada bulan Ramadan.

Tambah pekeliling itu, kakitangan yang memilih kemudahan berkenaan tidak dibenarkan menuntut bayaran lebih masa kerja untuk menyelesaikan tugasan hakiki yang tertunggak disebabkan pulang lebih awal.

Malah, Ketua Jabatan boleh mengarahkan kakitangan tersbeut bekerja lebih masa atas sebab kepentingan perkhidmatan selaras dengan peraturan kerja lebih masa yang berkuatkuasa.

Bagaimanapun, JPA mengingatkan bahawa kemudahan ini bukan merupakan satu hak dan ketua jabatan, atas kepentingan perkhidmatan boleh menarik balik atau meminda kelulusan kemudahan yang diberikan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette