KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang anak mereka maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, Pahang semalam, terpaksa memendekkan tempoh mengerjakan umrah di tanah suci Mekah.

Kedua mereka yang menerima berita sedih itu dari pihak pengurusan umrah, bergegas pulang dari Mekah ke Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu, hari ini untuk urusan pengebumian jenazah tiga anaknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, tiga beradik, Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28; adiknya, Wan Nor Athirah, 27; dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14, maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit.

Kenderaan MPV yang dinaiki mangsa remuk.

Kemalangan berhampiran Kampung Batu Putih itu turut mencederakan ibu saudara mereka, Salma Ibrahim, 58, dan anaknya, Nurul Aliyani Zawawi, 25, yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Tiga beradik itu bersama ibu saudara dan sepupu mereka dalam perjalanan ke Melaka untuk melawat saudara mara selepas menghantar ibu bapa dan seorang lagi adik perempuan menunaikan umrah pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.