KUALA LUMPUR – Jurutera sivil warga Malaysia, Richard Lau yang ditahan di Dubai April lepas kerana disyaki mencuri wang gaji masih ditahan untuk siasatan lanjut, menurut jurucakap Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.

“Pihak konsulat sentiasa berkomunikasi dengan keluarganya serta peguam untuk mendapatkan perkembangan terkini kes itu,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan, Richard, 41, telah dihantar bertugas ke Ras Al Khaimah, terletak paling jauh di utara Emiriah Arab Bersatu (UAE), oleh syarikat pengangkutan marin Malaysia yang berpangkalan di Miri sebagai penyelaras projek di syarikat subsidiarinya di sana lima tahun lepas.

Menurut laporan itu, dia ditahan pada 28 April susulan aduan dibuat oleh seorang warga UAE, yang merupakan rakan kongsi syarikat subsidiari itu, mendakwa dia mencuri wang gaji.

Aduan itu merujuk kepada sejumlah wang dibayar kepada Richard, yang sebenarnya adalah gajinya bagi menjalankan tugasnya seperti diarahkan oleh syarikat induk. – Bernama