Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Penularan kononnya seorang jemaah umrah dijangkiti penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) adalah palsu, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM menafikan penularan dalam media sosial dan menjelaskan ujian makmal yang dijalankan mendapati seorang jemaah umrah itu negatif daripada virus MERS-CoV.

“Tindakan tidak bertanggungjawab menularkan maklumat tidak sahih ini telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat dan adalah amat dikesali,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Maklumat tersebut tular di Twitter sejak tiga hari lalu selepas seorang wanita yang dipercayai anggota keluarga pesakit memuat naik status berhubung lelaki tersebut yang dikatakan pengsan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada mengerjakan Umrah.

Noor Hisham berkata, pihaknya sentiasa memantau rapi perkembangan jangkitan MERS-CoV yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengeluarkan nasihat kesihatan sebagai langkah pencegahan jangkitan kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat Malaysia semasa berada di Tanah Suci dan selepas pulang ke Malaysia.

“Pemantauan yang berterusan bermula sejak akhir 2012 sehingga kini telah merekodkan, lebih 3,000 orang telah menunjukkan gejala MERS-CoV.

“Bagaimanapun, hasil ujian MERS-CoV yang dijalankan ke atas mereka kesemuanya didapati negatif kecuali kes yang pernah dilaporkan pada April 2014 melibatkan seorang lelaki berumur lingkungan 50-an yang baru pulang dari mengerjakan umrah,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini tentang penyakit itu boleh melayari laman sesawang KKM di http://www.moh.gov.my atau melalui Facebook CPRC Kebangsaan (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis). – MalaysiaGazette