Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebelum ini pernah mencadang dan meluluskan usul kepada kerajaan agar mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi Negara (ASEN) yang kaedahnya sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Namun, menurut Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali, usul itu tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan, yang mungkin menganggap cadangan berkenaan sebagai remah.

Katanya, bagi Perkasa, ASEN boleh membantu menyelamatkan hartanah milik kerajaan daripada jatuh ke tangan pihak tertentu dengan cara rasuah atau penyalahgunaan kuasa sebagaimana berlaku pada tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Melalui ASEN, mereka yang disyaki terlibat mensabotaj ekonomi negara boleh ditahan serta-merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkhamah.

“Penyiasatan lebih cepat dan berkesan jika yang disyaki itu disiasat ketika dalam tahanan sama seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) Akta ISA yang dimansuhkan.

“Cara sekarang tidak lagi sesuai iaitu tubuh jawatankuasa dan siasat atau heret mereka disyaki ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman, kemudian bebas dengan ikat jamin dan bila hari perbicaraan bahan bukti sudah musnah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Ibrahim, beliau sedih dengan kecewa dengan apa yang berlaku di dalam negara ketika ini.

Katanya, satu demi satu berita rasuah dan penyalahgunaankuasa yang amat menyakiti hati dan jiwa rakyat berlaku.

“Belum pun selesai dan diambil tindakan serta dihukum kes terdahulu, hari ini terbongkar pula penyalahgunaan kuasa mengenai tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang bernilai ratusan juta ringgit.

“Ia dirompak secara terancang dan cukup licik oleh mereka yang terlibat tanpa rasa malu, berdosa dan takut pada Allah.

“Individu ini merancang menyamun mengikut saluran dan peraturan konon. Inilah yang dikatakan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya.

Inilah kata beliau, yang dikata penyamun cerdik pandai menyalahguna ilmu diperolehi dengan memiliki ijazah untuk melakukan ‘jenayah moral’ terhadap kepentingan rakyat dan negara.

“Jika dilihat dari segi undang-undang nampak seolah ianya halal, namun nilai yang begitu besar jadi seperti nilai lima sen. Ini yang saya kata, jenayah moral yang amat keji, terkutuk dan wajib dikutuk.

Kata Dr. Ibrahim, iktibar kepada isu tanah Felda ini mengajak rakyat untuk sama-sama mendesak kerajaan supaya mencari satu mekanisma undang-undang lebih berkesan mencegah rasuah dan penyalahgunaankuasa seperti diwujudkan segera ASEN atau apa juga kaedah sesuai serta berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast