Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memberitahu, beliau telah menulis surat kepada UMNO Bahagian Teluk Kemang untuk berhenti daripada menjadi ahli UMNO dua hari lepas.
Tan Sri Isa Samad

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad akan dipanggil minggu depan bagi memberikan keterangan isu siasatan kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Mohd Isa adalah individu penting dalam isu berkenaan.

“Tan Sri (Mohd Isa Samad) sebagai Pengerusi Felda, ada kaitan dengan keputusan untuk melabur, itu mesti (disiasat).

“Peringkat ini kita ambil (keterangan) lain-lain dulu..minggu depan (kita akan panggil Isa Samad) dalam masa terdekat, terpaksa tunggu dia balik. Tindakan lanjut (keterangan orang penting) akan siap minggu depan. Pegawai-pegawai siasatan dah bersedia, sekarang belum jelas,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM di Bukit Aman hari ini.

Mohd Isa sebelum ini berkata sedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung isu pemindahan hak milik tanah agensi itu yang ditimbulkan baru-baru ini.

Mohd Isa pernah menjadi Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata polis mengesahkan telah memanggil lima lagi saksi berhubung siasatan berkenaan.

Antara yang telah dipanggil adalah pegawai tertinggi Felda, pegawai Pejabat Tanah dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kita telah klasifikasikan laporan di bawah Akta 420 Penipuan dan Pemalsuan Dokumen, pengadu sibuk, saya telah arahkan dalam masa terdekat untuk beri keterangan pada polis.

“Beberapa tindakan dah ambil antaranya rakam percakapan dari beberapa saksi, dapatkan dokumen berkaitan syarikat yang terlibat, kita telah pergi ke pejabat tanah, proses pertukaran tanah.

“Apabila dapat rakam pengadu, kita akan ambil keterangan daripada beberapa pegawai Felda yang lain,”

Noor Rashid sebelum ini berkata polis sudah menubuhkan satu pasukan khas bagi siasatan kearah itu.

Ia berikutan satu laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.

“Polis sedang meneliti laporan ini yang dibuat oleh seorang pegawai tinggi Felda, kami akan kaji laporan,  kita dapati ada unsur-unsur untuk jalankan siasatan,” katanya lagi.

Khamis lepas, media melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak tahun 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata, Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah itu. -MalaysiaGazette.