Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bergambar dengan sebahagian pegawai-pegawai kanan polis pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Polis, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 27 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim hari ini mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang permohonan mahu menahan penceramah bebas, Dr. Zakir Naik.

“Polis tidak ada dokumen, dia ada proses tertentu dalam aktiviti ekstradisi ini kena lalui pejabat Peguam Negara, polis hanya jalankan arahan.

“Setakat ini kita tidak tahu apa alasan mereka. Polis belum tengok lagi dokumen itu apa alasannya yang pihak kerajaan India mohon kita bantu,” katanya merujuk kepada beberapa laporan media baru-baru ini.

Memetik laporan Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA), satu permohonan untuk penangkapan sementara Zakir telah dibuat terhadap beliau yang dipercayai berada di negara ini.

Pada awal bulan ini, Interpol menarik semula notis merah ke atas Dr Zakir yang dikemuka NIA atas alasan tidak lengkap dan tidak memfailkan sebarang kertas pertuduhan terhadap beliau.

Dalam pada itu, Noor Rashid berkata, polis akan membantu kerajaan India sekiranya ada meminta untuk menahan penceramah bebas itu.

“Kalau alasan itu selaras dengan undang-undang kita, tidak bercanggah dengan undang-undang negara kita, itu kita akan pertimbangkan untuk mengambil tindakan.

“Di peringkat ini saya tidak berani cakap, sebab kita tidak tahu fakta mereka. Biar mereka yang buat kerja mereka dahulu,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang berhubung dakwaan terhadap Dr Zakir.

Malah Mohamad Fuzi turut mengesahkan setakat ini tiada permintaan yang diterima berhubung perkara berkenaan.

Di India, Zakir dilaporkan didakwa di bawah Akta Pencegahan Keganasan kerana dipercayai mengetuai persatuan yang menyalahi undang-undang, dan didakwa menggalakkan belia menyertai kegiatan keganasan dan kumpulan militan global seperti DAESH. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.