Perwakilan dari Selangor, Zaidy Abd Talib bercakap pada sesi perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 30 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Exco Pas Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, bekas setiausaha perhubungan negeri itu, Khairuddin Othman akan diberikan jawatan lain oleh kepimpinan Pas negeri berkenaan.

Ujarnya, Pas negeri itu sedang dalam perancangan untuk melantik beliau kepada satu jawatan dalam kepimpinan parti itu selaras dengan kelayakan beliau selaku bekas setiausaha dan bekas jawatankuasa perhubungan Pas Selangor sebelum ini.

“Ia perkara biasa, ada tempat atau jawatan lain yang lebih sesuai untuk beliau,” katanya dalam satu pesanan WhatsApp kepada Malaysia Gazette.

Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras pada Sabtu digugurkan sebagai ahli jawatankuasa perhubungan Pas Selangor selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan dilantik.

Beliau sebelum ini berkhidmat selaku setiausaha Pas negeri kepada tiga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor iaitu Datuk Dr. Hasan Ali, Dr. Abd Rani Osman dan Datuk Iskandar A Samad.

Terdahulu, Khairuddin mendedahkan kepada Malaysia Gazette bahawa punca kepada pengguguran jawatan itu adalah disebabkan beliau yang agak mesra kepada kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang ada sekarang.

“Saya rasa ada yang tidak senang dengan cara kita mendukung kerajaan negeri. Itu antara sebab-sebabnya,” kata Khairuddin.

Mengulas mengenai itu, Zaidy berkata, pelantikan kepada jawatan baharu Khairuddin akan dimaklumkan kelak oleh kepimpinan Pas Selangor.

“Belum tahu lagi, nanti akan dimaklumkan,” katanya. -MalaysiaGazette.