Aliff Syukri
Aliff Syukri

KUALA LUMPUR – Pengasas D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri sudah dipanggil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memberi keterangan berhubung penyitaan kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost dalam operasi malam tahun baharu.

Perkara itu disahkan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Ismail Mohd Zawawi yang berkata satu notis sudah dihantar kepada jutawan kosmetik terkenal itu dan menjelaskan pemilik diberikan tempoh dua ke tiga minggu untuk hadir bagi membantu siasatan berhubung kenderaan itu.

“Kita sudah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan notis dihantar bagi memastikan pemilik kenderaan terbabit hadir memberi keterangan.

“Selepas notis diterima, pemilik diberi tempoh dua hingga tiga minggu untuk tampil ke pejabat JPJ dan membawa segala dokumen yang berkaitan bagi membantu proses siasatan,” beliau dipetik berkata.

JPJ menyita sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost dan semakan mendapati ia adalah Aliff Syukri.

Selain itu, dua warga Australia yang berada dalam kenderaan itu turut ditahan masing-masing kerana tidak memiliki lesen memandu sah di negara ini dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. – MalaysiaGazette