Donald Trump - foto Reuters

NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat mengugut akan menahan bantuan kepada rakyat Palestin.

Malah, Donald Trump menuduh Palestin ” tidak pernah bersedia untuk rundingan damai” dengan Israel.

Dalam Tweetnya, Trump berkata: Washington memberi Palestin beratus juta dolar setahun dan tidak mendapat penghargaan dan penghormatan. Mereka tidak mahu melakukan perjanjian damai yang berlarutan dengan Israel … rakyat Palestin tidak lagi bersedia untuk bercakap mengenai pendamaian, mengapa kita perlu memberi bantuan masa depan yang besar kepada mereka?”.

Kenyataan Trump itu sejurus selepas wakilnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merancang untuk menghentikan dana ke agensi PBB yang menyediakan sumbangan kemanusiaan kepada pelarian Palestin.

“Presiden pada dasarnya mengatakantidak mahu memberi pembiayaan tambahan, atau menghentikan dana, sehingga rakyat Palestin bersetuju untuk kembali ke meja perundingan,” kata Duta Besar Amerika Syarikat, Nikki Haley.

Amerika Syarikat adalah penderma terbesar kepada agensi itu, dengan peruntukan hampir AS$ 370 juta pada tahun 2016, menurut laman web UNRWA.

Hubungan antara Palestin dan Washington tegang sejak awal bulan lalu selepas Trump iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pengiktirafan Trump itu bagaimanapun ditentang oleh dunia Arab dan menjadi kebimbangan kepada sekutu-sekutu Amerika Syarikat di barat.

Cadangan Trump turut ditentang oleh 120 negara pada Perhimpunan Agung PBB. – MalaysiaGazette