Philippe Coutinho dikatakan telah bersetuju untuk berhijrah ke Nou Camp pada akhir musim ini. - Metro.co.uk

LONDON – Barcelona terus menunjukkan minat tinggi apabila sedia membayar £140 juta kepada Liverpool bagi mendapatkan Philippe Coutinho pada perpindahan bulan ini.

Kelab Catalan itu meletak harga sebanyak £105 juta dengan tambahan £35 juta berdasarkan penampilan dan kejayaan Coutinho di Camp Nou.

Bayaran akan memastikan Coutinho sebagai pemain bola sepak ketiga paling mahal dalam sejarah di belakang Paris Saint Germain yang menandatangani Neymar dan Kylian Mbappe.

Namun Liverpool tetap enggan menjual pemain berusia 25 tahun itu dan berusaha untuk mengekalkannya walaupun pemain Brazil itu tetap berhasrat mahu berhijrah.

Ini dilihat apabila Liverpool tidak lagi berhubung dengan Monaco mengenai sasaran musim panas Thomas Lemar dan memberi tumpuan meyakinkan Coutinho bahawa dia boleh mencapai cita-cita beraksi dalam Liga Juara-Juara di Anfield pada 2018.

Pengurus Jurgen Klopp sekali lagi enggan memberi jaminan bahawa Coutinho akan kekal. Bagaimanapun, dia berkata, isu perpindahan itu tidak akan memberi kesan ke atas permainan Liverpool yang akan datang.

Coutinho dan Mohamed Salah terlepas untuk beraksi dalam pusingan ketiga Piala FA menentang Everton, kerana kedua-duanya cedera. – MalaysiaGazette