Foto Official PKNP FC.

 

KUALA LUMPUR – Penyerang Terbaik Liga Malaysia 2017, Shahrel Fikri Fauzi menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dalam Liga Malaysia 2018 apabila dia kekal bersama Perak SEDC (PKNP FC).

Keputusan itu merupakan berita gembira buat PKNP FC selepas penyerang tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Liga Super dan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.

PKNP FC hari ini mengumumkan Shahrel sudah menandatangani lanjutan kontrak untuk setahun serta akan kekal bersama kelab sehingga 2020.

Shahrel menjaringkan 20 gol musim lalu.

Pemain 23 tahun itu yang memenangi anugerah penyerang terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan bulan lalu dilihat aset penting buat PKNP yang akan beraksi dalam Liga Super musim ini.

Shahrel yang kontrak lamanya bakal tamat pada tahun 2019 kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan otot yang dialami ketika mewakili negara Oktober lalu.

Namun pemain itu dijangka kembali beraksi apabila kempen bermula pada 3 Februari ini. – MalaysiaGazette