KUALA LUMPUR – Kehadiran dua bintang Kollywood kegilaan dunia, ‘Superstar’ Rajinikanth dan ‘Ulaga Nayagan’ Kamal Hassan mencetuskan kegilaan dalam kalangan peminat yang yang menyaksikan mereka berdua di atas pentas sama pada acara gilang gemilang ‘Nachathira Vizha 2018’ hari ini.
Menariknya, ini bukanlah kali pertama mereka datang ke Malaysia kerana masing-masing pernah menjalani sesi penggambaran dan juga mengadakan konsert sebelum ini namun kehadiran mereka tetap dianggap sesuatu yang luar biasa buat para peminat.
Para peminat pelbagai bangsa tidak kira tua dan muda bagaikan dirasuk histeria bersorak tanpa henti apabila kedua-dua bintang ini diarak berjalan ke pentas utama di Stadium Bukit Jalil sejurus selepas perlawanan bola sepak persahabatan antara artis tempatan dan bintang Kollywood.
Rajinikanth, 67, baru-baru ini membuat kejutan beliau akan menyertai arena politik berikutan ketidakstabilan politik di Tamil Nadu malah turut mendedahkan akan menubuhkan parti politik baharu dalam masa terdekat.
Ketika berucap di hadapan ribuan peminat di Malaysia, Rajinikanth sekali lagi menyebut impian beliau untuk berjuang untuk masyarakat Tamil Nadu di India yang padanya telah membantunya meningkat naik sehingga berjaya pada hari ini.
“Saya sentiasa teringin untuk hidup dalam kesederhanaan malah impian untuk sekian lama saya sebenarnya hanya mahu memliki sebuah pangsapuri kecil seadanya dengan sebuah skuter untuk membawa saya ke sana sini.
“Impian besar yang telah lama melekat dalam jiwa sanubari saya pula, saya mahu berjuang untuk masyarakat Tamil Nadu yang telah lama bersama saya, menyokong saya dan sentiasa berada di sisi saya baik atau buruk. Untuk mereka ini, saya mahu abadikan diri,” katanya disambut tepukan gemuruh di Stadium Bukit Jalil.
Bagi Kamal Hassan yang turut menerima pengiktirafan tertinggi India dikenali sebagai ‘Padmabushan’ Dr Kamal mengakui dirinya amat teruja untuk selalu melawat Malaysia.
“Bagi saya sama seperti saudara Rajinikanth, Malaysia bukan sahaja dekat di hati malah ini juga merupakan kedua selepas India. Rakyatnya yang terkenal dengan kesopanan dan kesantunan yang tiggi sebenarnya memikat hati,” katanya ujarnya.
Rajinikanth terdahulu turut berkesempatan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut merupakan antara peminat tegar beliau di kediaman rasminya di Putrajaya.
Najib yang kemudian memuat naik gambar beliau bersama Rajinikanth di laman sosial Twitter turut menyatakan rasa gembiranya.
“Sangat menggembirakan dapat bertemu Thailava @superstarrajini lagi hari ini. Kali ini di Malaysia. Nikmati masa anda di sini,” katanya.
Kira-kira 250 penggiat seni Kollywood, termasuk gabungan pelakon filem Tamil, Telugu, Malayalam; penyanyi dan pengarah muzik, selain tidak ketinggalan selebriti India tempatan Malaysia.
Natchathira Vizha 2018 yang telah berlangsung sejak dari jam 10 pagi hingga 10 malam tadi menampilkan persembahan nyanyian, tarian dan perlawanan kriket serta bola sepak antara artis India dan tempatan.
Acara gilang gemilang ini telah dianjurkan oleh Persatuan Artis India Selatan (SIAA) atau lebih mesra sebagai Nadigar Sanggam dengan sokongan daripada MyEvents International serta mendapat sokongan sepenuhnya oleh Malaysia Major Events. – MalaysiaGazette