KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana mencederakan isterinya dengan periuk tanah liat gara-gara wanita itu tidak mahu memberinya wang untuk membeli minuman keras.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas M.Mahendran, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap M.Kanaga, 31, seorang suri rumah dengan menggunakan senjata berupa periuk tanah liat di rumah ibunya di Taman Melawati, Ampang Jaya, di sini pada 3.50 pagi, 4 Januari lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Januari lepas.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang tidur di rumah mertuanya telah dikejutkan oleh tertuduh yang memintanya memberi wang untuk membeli minuman keras.

Mangsa bagaimanapun memberitahu dia tidak mempunyai wang menyebabkan tertuduh berang lalu memukul dan menumbuk mangsa di badannya.

Tertuduh juga cuba membaling barang-barang dapur termasuk batu giling kepada mangsa sambil menjerit mengatakan dia mahu membunuh mangsa.

Ibu tertuduh dan adiknya cuba menahan tertuduh dari terus memukul mangsa namun gagal sehinggalah adiknya memberitahu akan membuat laporan polis menyebabkan tertuduh berhenti mencederakan mangsa.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas perbuatannya dan merayu hukuman ringan selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Illyana Zainal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan seumpama itu. – Bernama