[13:43, 1/11/2018] +60 10-226 6579: Dua suspek kes pembunuhan seorang ahli kongsi gelap di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Dua lelaki yang merupakan suspek kes bunuh seorang ahli kongsi gelap di stesen minyak di Taman Pelangi tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Gan Jia Ji, 19, dan Yip Kah Hou, 23, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh dan bersubahat melakukan jenayah bunuh.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Jia Ji bersama lima suspek yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Tan Aik Chai, 44, pada ‪jam 7.30‬ malam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, 17 Disember lalu.

Bagi kesalahan tersebut, Jia Ji dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Mengikut pertuduhan, Kah Hou pula didakwa bersama tiga suspek lagi yang masih bebas bersubahat dengan Jia Ji dan lima lagi yang masih bebas melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Aik Chai pada lokasi dan waktu sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala Kah Hou diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Jia Ji tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan ‪13 Februari‬ depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan bedah siasat. – MalaysiaGazette