Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks D, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 11 JANUARI 2018.

PUTRAJAYA – Semua sekolah sepatutnya mematuhi arahan Kementerian Pendidikan yang membenarkan kanak-kanak tanpa dokumen kewarganegaraan untuk mendapatkan pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ibu bapa dinasihatkan merujuk kepada kementerian itu sekiranya terdapat kanak-kanak yang dilarang untuk menyertai sesi persekolahan.

“Apabila menteri berkenaan keluarkan arahan, maka pematuhan hendaklah dibuat di sekolah berkenaan. Soal memperolehi dokumen, sijil kelahiran, rekod kelahiran ialah kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Namun dari segi pendidikan mereka yang tanpa dokumen ini, ia hendaklah diterima pakai,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dihalang menghadiri sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Rasah Jaya pada minggu lalu kerana tidak memiliki dokumen kelahiran, berdasarkan polisi baru dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Keluarga angkat G. Darshana dikatakan telah membuat permohonan kerakyatan kanak-kanak itu yang mereka ambil secara sah, namun masih belum mendapat kelulusan.

Kementerian Pendidikan dilaporkan sudah memberi kebenaran untuk Darshana menghadiri sesi persekolahan hari ini dengan memberikan pas khas kepadanya.

Zahid dalam pada itu menambah, JPN menerima tidak kurang daripada 100,000 permohonan kanak-kanak yang tidak didaftarkan kewarganegaraan disebabkan beberapa isu yang tidak selesai.

“Ia disebabkan ada 11 kategori antaranya proses pengambilan anak angkat yang belum disahkan, anak yang tidak sah taraf serta warganegara Malaysia yang mempunyai isteri warganegara asing yang melahirkan anak di luar negara tetapi dibawa ke Malaysia,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan boleh menghadiri sesi persekolahan walaupun permohonon kerakyatan mereka masih dalam proses. – MalaysiaGazette