KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan manusia ‘Abang Bangla’ selepas menahan seorang warga Bangladesh dalam serbuan awal pagi di sebuah rumah di Seksyen 28, Shah Alam hari ini.

Dikenali sebagai ‘Abang Bangla’, lelaki berusia 43 tahun tersebut ditahan bersama-sama 50 warga Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun yang dipercayai mangsa penyeludupan manusia di premis berkenaan.

Dalam sidang media di Putrajaya, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata turut ditahan dalam operasi jam 2 pagi tersebut ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pembantu dan bersekongkol dengan suspek utama.

“Sindiket dipercayai beroperasi sejak lapan bulan lalu dan menguruskan kemasukan semula warga Bangladesh yang pernah melakukan kesalahan serta menjalani hukuman di negara ini,” katanya.

Mustafar berkata mereka perlu membayar antara RM15,000 dan RM20,000 kepada sindiket yang akan menguruskan penerbangan mereka dari Dhaka ke Indonesia sebelum menggunakan khidmat tekong untuk masuk ke negara ini melalui jalan laut atau darat, khususnya di laluan yang tidak diwartakan.

“Mereka akan disimpan terlebih dahulu di rumah penampungan sehingga mereka menyelesaikan bayaran tersebut. Setelah selesai bayaran, barulah mereka diserahkan kepada ejen atau majikan yang memerlukan pekerja asing,” katanya.

Mustafar berkata suspek utama dan pembantunya ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Mirgran 2007 manakala 50 warga Bangladesh itu pula ditahan menurut Akta Imigresen 1959/63.

Turut dirampas ketika serbuan itu ialah wang tunai RM13,400 dan 48 naskah pasport.

Mustafar berkata siasatan awal mendapati suspek utama pernah bekerja di sebuah syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) lelaki itu telah tamat tempoh pada Ogos 2016.

Dalam kes berlainan, Mustafar berkata JIM menahan 183 warga asing termasuk dua wanita dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dalam satu serbuan di sebuah gudang di Subang Jaya, Selangor, semalam.

Mereka yang terdiri daripada 121 warga Bangladesh, 58 warga India termasuk dua wanita dan dua lagi warga Pakistan ditahan atas pelbagai kesalahan menurut Akta Imigresen 1959/63, katanya.

“Berdasarkan siasatan awal, JIM percaya mereka telah ditempatkan di gudang tersebut sementara menunggu untuk mendapatkan majikan baharu,” katanya. – BERNAMA