Home Utama Akibat wasangka, suami pukul isteri hingga mati

Akibat wasangka, suami pukul isteri hingga mati

TAIPING: Hanya kerana syak wasangka, seorang suami memukul isterinya sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Matang dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata Noor Waheedah Abd Wahid, 38, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, kira-kira 9.30 malam tadi.

“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 11 malam Khamis. Keesokannya, seorang lelaki berumur 40 tahun dan bekerja sebagai buruh datang ke Balai Polis Kuala Sepetang kira-kira jam 9.15 pagi membuat laporan memberitahu dia memukul isterinya.

“Isterinya cedera lalu tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Taiping sebelum dirujuk ke HRPB selepas disyaki mengalami pendarahan dalam otak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, bedah siasat pihak HRPB mendapati kematian mangsa adalah disebabkan oleh trauma tumpul.

Katanya, suami mangsa ditahan dan polis mendapat perintah reman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Pihak polis akan memohon lanjutan tempoh reman ke atas suami mangsa esok untuk siasatan lanjut kes yang diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kejadian berpunca daripada suspek mengesyaki isterinya ada hubungan rapat dengan lelaki lain,” katanya.

Mohamad berkata, pasangan itu mempunyai empat anak berumur lima hingga 15 tahun. – MalaysiaGazette

Comments are closed.