Home Utama Penganjur lewat hantar kelulusan punca Cabaran Pulau Indah batal

Penganjur lewat hantar kelulusan punca Cabaran Pulau Indah batal

Mazlan Mansor

SHAH ALAM – Kelewatan Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) mengemukakan surat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan kepada pihak polis adalah punca Cabaran Pulau Indah 180 Malaysia 2018 yang sepatutnya berlangsung hari ini tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak penganjur hanya mengemukakan surat kelulusan berkenaan kepada pihaknya pada kira-kira 12.45 tengah malam tadi, kira-kira enam jam sebelum perlumbaan berlangsung.

“Untuk tempoh sesingkat itu agak mustahil untuk polis menyediakan anggota yang cukup untuk mengawal trafik di sepanjang 180 kilometer (km) laluan perlumbaan yang melibatkan empat daerah polis antaranya Klang, Banting dan Sepang kerana penugasan awal telah dibuat.

“Sepatutnya penganjur perlu mengemukakan surat kelulusan berkenaan paling lewat 24 jam sebelum acara diadakan, jika penganjur mematuhi prosedur ini pihak polis tiada masalah untuk memberi kerjasama,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 peserta acara lumba basikal yang masuk edisi ketiga itu hampa apabila acara berkenaan dibatalkan pada saat akhir oleh penganjur atas alasan keselamatan dan ditukar kepada acara kayuhan santai atau ‘Fun Ride’ sejauh 80 km.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Datuk Mahmud Abbas dilaporkan memberi jaminan yuran penyertaan peserta akan dikembalikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast