Suruhanjaya Pilihan Raya SPR

PUTRAJAYA – Sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat September tahun lepas, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata pemilih dalam Daftar Pemilih sehingga suku ketiga 2017 adalah seramai 14.8 juta orang.

“Untuk tempoh pendaftaran pemilih suku keempat tahun lepas, SPR menerima 212,042 pendaftaran pemilih baharu dan 72,998 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi Suku Tahun 4/2017 akan dipamerkan selama 14 hari mulai esok sehingga 30 Jan ini di 961 tempat pameran di seluruh negara.

Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada Oktober, November dan Disember tahun lalu dinasihatkan untuk menyemak, katanya.-BERNAMA