Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Wawancara Bicara 4 Mata di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berada dalam kawalan sepenuhnya oleh pihak berkuasa negara.

Meskipun begitu, perintah berkurung dilanjutkan setiap bulan demi menjaga keselamatan memandangkan ancaman dari dalam dan luar termasuk pendatang tanpa izin yang datang pada bila-bila masa sahaja.

Lantaran itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kesiapsiagaan oleh pasukan keselamatan adalah perlu memandangkan negara sedang berhadapan dengan peperangan gerila.

“Kita menghadapi peperangan gerila daripada pihak penceroboh. Jadi, mereka tidak akan memberi notis kepada kita bila masa mereka datang. Jadi kesiapsiagaan itu harus ada.

“Dalam keadaan begitu pun, dalam sebulan lalu, seorang yang menyamar sebagai nelayan, dari negara jiran telah dapat ditembak oleh OCPD dan pegawai-pegawai dari Balai Polis Kunak, Sabah.

“Dan, setelah tembakan itu dibalas oleh orang berkenaan danakhirnya terbunuh, kita dapati orang itu adalah pengintip. Senjata-senjata dan maklumat yang diperoleh mengesahkan bahawa orang itu adalah pengintip.

“Bayangkanlah jika perintah berkurung tidak dikenakan di kawasan tertentu, waktu tertentu, maka kebebasan keluar masuk, pengintipan itu pasti berjalan,” katanya dalam wawancara program Bicara 4 Mata bersama theRakyat.

Mengulas mengenai cabaran, timbalan perdana menteri mengakui walaupun pasukan keselamatan melakukan operasi setiap waktu sehingga tidak ada hari tanpa operasi, namun persekongkolan antara penyeludup dan orang yang mahu diseludup masih mencabar.

Ini berlaku kepada penyeludup dan individu yang diseludup melihat ‘ada syurga di Malaysia’ kerana negara ini mampu memberikan rezeki kepada mereka.

Beliau memuji pasukan keselamatan negara kerana semangat dan perjuangan pasukan keselamatan negara berada pada tahap tertinggi.

Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, dalam usaha mempertahankan negara, rakyat juga perlu memberi komitmen dengan meletakkan rasa sayang kepada negara sebagai perkara terpenting.

“Saya ambil iktibar dari segi kuasa. Kalau kita mempunyai keimanan dan ketakwaan yang tinggi, seenak dan sesedap mana pun makanan di hadapan kita diletakkan, kita tidak akan jamah.

“Begitu juga soal pertahanan dan keselamatan. Sebagaimana yang kita belajar dari segi keimanan dan ketakwaan, rasa sayangkan kepada negara itu harus jadi keutamaan,” katanya. – theRakyat