Menteri Kewangan 2 merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra dengan sebahagian ibu bapa yang hadir pada Seminar Kesedaran Kesihatan Seksual & Reproduksi Anak-Anak : Apa Peranan Kita di Dewan Bestari, Sek. Men. Keb. Aminuddin Baki, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 21 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Ibu bapa nampaknya memberi pandangan yang berbeza terhadap pendedahan pendidikan seksual dalam kalangan pelajar sekolah.

Ada yang menyokong langkah itu namun berpendapat ia perlu diserasikan mengikut tahap usia dan ada menyokong ia perlu didedahkan seawal pendidikan di peringkat rendah.

Ada juga yang berpendapat ia hanya wajar pelajar didedahkan ketika pelajar berada di peringkat menengah.

Seorang doktor gigi, Wan Izuddin Wan Zaidi, 33, bersetuju agar pendedahan terhadap pendidikan seksual itu ditonjolkan kepada pelajar agar mereka lebih matang.

Namun kata beliau, pendedahan peringkat awal iaitu di sekolah rendah adalah tidak sesuai kerana pada usia itu para pelajar kurang mengerti dengan apa yang didedahkan kepada mereka.

Wan Izzuddin Wan Zaidi

“Mereka perlu mengenal terlebih dahulu pendidikan yang lebih sempurna dan formal kerana pada usia itu mereka tidak lagi mengalami perubahan seperti seorang dewasa.

“Tidak sama seperti pelajar yang sudah berada di peringkat menengah di mana mereka telah terdedah dengan pelbagai perkara terutama dalam aspek pergaulan dan mereka sudah mempunyai naluri dan keinginan,” katanya.

Bagi seorang pesara swasta, Siti Radziah Mokhtar, 58,  pendidikan terhadap seksual perlu didedahkan mengikut peringkat umur dan perkembangan seseorang individu.

Menurutnya, tidak semestinya pelajar di peringkat rendah tidak boleh didedahkan dengan pendidikan seksual tetapi pendedahan itu perlulah serasi dengan usia mereka.

“Mereka (pelajar peringkat rendah) perlu tahu tetapi tidak perlu mendedahkan kepadanya bagaimana kita mendedahkannya kepada yang telah dewasa.

Siti Radziah Mokhtar,

“Apa pun ia bergantung kepada apa yang diajar mengenai pendidikan itu dan jika salah pendedahannya ia akan memberi kesan negatif tidak kira dalam apa jua peringkat usia,” ujarnya.

Terdahulu, Parlimen Titiwangsa hari ini menganjurkan Seminar Kesedaran Kesihatan Seksual dan Reproduksi Anak-Anak:Apa Peranan Kita? sebagai langkah mendidik masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dalam aspek kesihatan seksual.

Lebih 50 peserta menghadiri seminar tersebut dan dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast