Ketua Pengawai Eksekutif dan Pangasas TOC Kolej Automobil, Adelaine L.K. Foo dan Pengetua TOC Kolej Automobil, Prem Kumar Mathavan beramah mesra bersama penerima-penerima memorandum pada sidang media TOC Bina Bakat Program Kolej Automobil TOC 10 di Seksyen 19, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kolej Automotif TOC (TOC) menyasarkan 300 pelajar baharu menerusi Program Bina Bakat dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang automatif dan sukan permotoran.

Pengasas dan Ketua Pegawai Esekutif TOC, Adelaine Foo berkata, program itu menyediakan pinjaman 100 peratus dan para pelajar hanya perlu membuat pembayaran balik melalui potongan bulanan daripada gaji atau elaun mereka ketika dalam tempoh perintisan atau penempatan pekerjaan tetap.

Beliau menjelaskan, pihaknya memperuntukan dana lebih RM3 juta bagi memastikan pendidikan yang berkualiti tinggi di samping memberikan penekanan terhadap kebajikan pelajar.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ramai ibu bapa bergelut untuk membiayai kos pendidikan pengajian tinggi anak-anak mereka.

“Sebagai perintis pendidik industri automotif di Malaysia, kami mengambil peranan serta komited dalam mengatasi cabaran luar yang boleh mengurangkan peluang pembelajaran pendidikan tinggi dalam kalangan generasi muda.

“Melalui Program Bina Bakat TOC, kami berharap dapat mengurangkan jurang perbezaan kewangan justeru menyediakan akses yang lebih mudah kepada pendidikan yang berkualiti untuk anak muda yang berbakat dan meminati bidang automatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama 30 rakan industri TOC di kolej berkenaan di Petaling Jaya hari ini.

Ketua Pengawai Eksekutif dan Pangasas TOC Kolej Automobil, Adelaine L.K. Foo bercakap pada sidang media TOC Bina Bakat Program Kolej Automobil TOC 10 di Seksyen 19, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2018

TOC yang ditubuhkan pada tahun 2004 merupakan perintis dalam pendidikan automotif profesional yang memastikan kebolehpasaran para pelajarnya.

Adelaine menambah, pihaknya memperuntukan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 bagi kos pengajian seorang pelajar mengikut program sijil, diploma dan ijazah.

Jelasnya, peruntukan tersebut melibatkan dana persendirian selain sumbangan rakan industri.

“Inisiatif ini dilakukan bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah memberi perhatian khusus kepada transformasi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melengkapkan golongan muda Malaysia bagi menjayakan Revolusi Industri 4,” katanya.

Adelaine berkata, Program Bina Bakat ini akan mengambil masa selama dua tahun setengah bagi program Diploma dan 18 bulan bagi kursus Sijil yang mana para pelajar akan mempelajari secara teori dan latihan praktikal industri secara bergilir oleh majikan terpilih (rakan industri TOC) sepanjang semester.

“Pelajar yang berdaftar dikehendaki menghadiri beberapa sesi temuduga serta menjalani ujian psikometrik sebelum dipilih menyertai Program Bina Bakat TOC.

“Program ini juga akan memanfaatkan kedua belah pihak iaitu para pelajar dan rakan industri TOC kerana para pelajar ini akan dilatih di dalam organisasi sebenar di mana mereka bakal mendapat pekerjaan tetap sama ada di dalam perkhidmatan selepas jualan atau bidang teknikal,” katanya.

Ketua Pengawai Eksekutif dan Pangasas TOC Kolej Automobil, Adelaine L.K. Foo dan Pengetua TOC Kolej Automobil, Prem Kumar Mathavan membuat lawatan pada sidang media TOC Bina Bakat Program Kolej Automobil TOC 10 di Seksyen 19, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2018

Adelaine memberitahu, TOC akan terus memantapkan kedudukannya di dalam sektor automotif dan pendidikan di Malaysia melalui rangkaian kerjasama strategik dengan rakan industri sejak beberapa tahun lalu dengan menonjolkan beberapa jenama automotif seperti Mistertyre Malaysia, Autobacs Seven Co. Ltd. iaitu peruncit selepas pasaran utama Jepun dan penubuhan TOC-Aylezo Racing Academy dengan kerjasama Aylezo Competizione serta Sepang International Circuit bagi dunia sukan permotoran.

Sementara itu, permohonan pertama Program Bina Bakat TOC akan dibuka untuk pengambilan pertama pada 3 Februari ini.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh layari laman web rasmi TOC di ww.toc.edu.my atau halaman Facebook di Facebook/TOC.edu. – MalaysiaGazette

Ketua Pengawai Eksekutif dan Pangasas TOC Kolej Automobil, Adelaine L.K. Foo menyampaikan memorandum kepada Ketua Eksekutif Audi Setia Alam, Zainol D’Zul Hafiz pada sidang media TOC Bina Bakat Program Kolej Automobil TOC 10 di Seksyen 19, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2018