Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin.

SERI KEMBANGAN – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin secara sinis mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas parti itu melahirkan keyakinan untuk meraih 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, jika itu yang disasarkan oleh Pas, maka BN perlu segera mengucapkan tahniah kepada Pas atas misi besar parti itu.

“Kalau rasa dia (Pas) boleh menang (sekurang-kurangnya 40 kerusi), tahniah (kepada beliau),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua di Kompleks Rapid Bus Cheras hari ini.

Khairy berkata demikian merujuk kepada kenyataan Hadi bahawa pembentuk Gagasan Sejahtera itu berhasrat memenangi kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Malah Hadi berkata, parti itu sedia untuk menjadi faktor kepada pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya umum akan datang.

Langkah tersebut dinyatakan Ahli Parlimen Marang itu selepas bersedia untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen pada PRU-14.

Hadi berkata demikian di himpunan Fastaqim 2.4 yang berlangsung di Seksyen 17, Shah Alam semalam. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.