Home Ekonomi BIMB lancar dana ekuiti berasaskan Big Data, Fintech

BIMB lancar dana ekuiti berasaskan Big Data, Fintech

Dari kiri Najmuddin Mohd Lutfi, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Invest, Encik Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengerusi BIMB Invest, Mr Gabriel Karageorgiou, Pengarah, Penyelidikan Berasaskan Nilai, Arabesque Asset Management Holdings Ltd UK dan Encik Khairul Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam bersama-sama melancarkan Dana Ekuiti BIMB-Arabesque Asia-Pacific Shariah-ESG.

KUALA LUMPUR – BIMB Investment Management Berhad dan Arabesque Asset Management Holding Ltd, UK (Arabesque Partners) melancarkan Dana Ekuiti BIMB-Arabesque Asia-Pacific Shariah-ESG, dana Asia Pasifik berasaskan Big Data & FinTech yang pertama di Malaysia.

Dana ini merupakan produk inovasi terbaharu yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai tumpuan pasaran kewangan Islam.

Dana patuh Syariah dan ESG (Alam Sekitar, Kemasyarakatan dan Ketelusan Tadbir Urus) ini melabur dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di rantau Asia Pasifik dengan menggunakan FinTech dan analisis Big Data bagi menawarkan peluang modal jangka panjang yang mampan.

Pengerusi BIMB Invest, Nik Mohd Hasyudeen berkata, dana Ekuiti BIMB-Arabesque Asia-Pacific Shariah-ESG ini adalah unik dan berbeza kerana dana ini menawarkan dimensi baharu untuk melabur dengan teknologi Big Data dan ESG di rantau Asia Pasifik.

Proses pelaburan dana ini menggunakan analisis Big Data untuk memproses lebih daripada 100 bilion data dalam menilai dan menganalisis 7,500 saham yang disenaraikan di rantau Asia Pasifik bagi mengenal pasti 140 saham yang terbaik pada setiap suku tahun.

Ia merupakan dana ekuiti Islamik Asia Pasifik pertama di Malaysia yang menggunakan data-data ESG dengan keupayaan menganalisis Big Data.

Produk ini ditawarkan untuk langganan dalam ringgit dan dolar Amerika Syarikat, masing-masing pada harga RM0.25 and USD0.25 seunit, untuk 21 hari semasa tempoh tawaran awal, bermula 19 Januari 2018 sehingga 8 Febuari 2018.

Jumlah pelaburan awal minumum yang diperlukan adalah RM500 atau AS$500 dengan saiz dana yang disasarkan ialah RM100 juta sepanjang tempoh satu tahun.

Bagi kemudahan para pelabur, dana ini boleh dilanggan dari mana-mana cawangan Bank Islam seluruh negara, Perunding Unit Amanah BIMB Invest, Philip Mutual dan Kenwealth oleh Kenanga. Dana ini juga boleh dibeli secara atas talian di www.fundsupermart.com.my,
www.ifastcapital.com.my dan www.eunittrust.com.my – MalaysiaGazette