Home Utama Bongkah batu jatuh projek SUKE di Taman Saga dihentikan

Bongkah batu jatuh projek SUKE di Taman Saga dihentikan

KUALA LUMPUT – Kerja-kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Taman Bukit Saga dihentikan serta-merta selepas kejadian bongkah batu terjatuh di kawasan berkenaan.

Kejadian itu berlaku berhampiran Jalan Saga 28, Taman Bukit Saga, pukul 10.45 pagi tadi.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya beberapa kenderaan dan rumah menerima kesan kotor akibat percikan lumpur akibat kejadian tersebut.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd yang memegang konsesi lebuh raya itu berkata, siasatan sudah dijalankan dan operasi pembersihan di kawasan tersebut sedang dilakukan.

“Jika siasatan mendapati ada unsur kecuaian di dalam pelaksanaan kerja, tindakan tegas akan diambil ke atas kontraktor yang terlibat.

“Kesemua kenderaan yang mengalami kekotoran akibat percikan lumpur telah dibawa ke pusat pembersihan kenderaan dengan segera. Kaunter rujukan juga disediakan bagi menerima aduan dari orang awam dan memantau kerja-kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Di samping itu, Kumpulan Maklum Balas Kecemasan (ERT) akan bertugas 24 jam bagi menghadapi sebarang kecemasan.

Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan keselesaan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan pembinaan SUKE adalah menjadi keutamaan.

Orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah urus oleh kontraktor, mereka boleh terus salurkan maklumat kepada melalui Telefon Hotline : 1 300 88 9922,
Facebook : PROLINTAS Highways, Twitter : @mySUKEofficial, Emel : [email protected], Laman Web : www.mysuke.com.my, Aplikasi Telefon : PROLINTAS – MalaysiaGazette