Home Ekonomi Kerajaan akan pastikan penarafan kredit kekal ‘A’ – Najib

Kerajaan akan pastikan penarafan kredit kekal ‘A’ – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penting bagi Malaysia untuk memastikan penarafan kredit negara kekal dalam kumpulan ‘A’ kerana ia berkait secara langsung dengan kos pinjaman.

“Jika gred penarafan diturunkan, kos pemberian pinjaman akan meningkat dan individu serta perniagaan akan terjejas disebabkan oleh kos pinjaman tiniggi,” kata Perdana Menteri.

“Justeru itu, mustahak untuk mengurangkan defisit kita, mengekalkan hutang Kerajaan di bawah paras 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan memastikan penarafan kredit kita kekal dalam kumpulan ‘A’,” katanya pada majlis pelancaran Invest Malaysia 2018, di sini, hari ini.

Pada Jun 2017, paras hutang kerajaan berada pada 50.9 peratus daripada KDNK.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya penarafan diturunkan, kos pemberian pinjaman bagi semua, termasuk perniagaan dan individu yang mahu mendapatkan pinjaman akan meningkat.

“Semua akan terjejas. GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) telah melindungi kita daripada itu,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar yang turut bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri berkata, penarafan itu mencerminkan dengan sebenar kemampanan dan asas-asas ekonomi negara.

Beliau berkata, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan pakej dasar holistik dalam menguruskan ekonomi bagi memastikan kemampanan jangka panjang negara.

Sekiranya Malaysia tidak menangani kewangannya dengan baik ia akan berdepan risiko penurunan dari segi penarafan kredit, kata Wahid, yang berkhidmat sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab bagi Perancangan Ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

“Sekiranya penarafan kredit kita diturunkan, kos pinjaman kita akan meningkat dan sebagainya. Ia adalah sesuatu yang kita mesti elakkan,” katanya kepada pemberita pada majlis itu.

Bekas menteri itu berkata, penarafan A- Malaysia ketika ini oleh Standard & Poor atau penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service telah membolehkan sektor korporat meminjam pada tahap yang munasabah. – MalaysiaGazette