Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menetapkan tempoh hingga akhir bulan ini untuk menyelesaikan isu calon dan pengagihan kerusi dalam kalangan parti gabungan itu dan parti pembangkang lain di Sabah.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, tempoh sama turut diberikan kepada PH di negeri lain untuk menyelesaikan segera isu berkenaan.

“Kita akan minta setiap parti (PH) untuk menyenaraikan calon mengikut kawasan yang dikhususkan dan setiap parti saya pasti sudah kenal pasti bakal calon.

“Begitu juga dengan pembahagian kerusi mesti dibereskan sebelum akhir bulan ini. Kita minta semua negeri menyelesaikan agihan bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen,” katanya lapor BH Online.

Muhyiddin berkata, pakatan pembangkang terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri itu yang berkongsi matlamat sama untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada pertemuan atau kerjasama rasmi dengan parti pembangkang lain termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Terpulang kepada Shafie untuk buat apa yang patut, ..saya tidak ingat sama ada dia pernah cakap pasal itu (kerjasama Warisan dan Pakatan Harapan) dengan saya,” katanya seperti dilaporkan. – MalaysiaGazette