Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim membetulkan pangkat di bahu Kolonel Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Azwanddin Hamzah (tiga kiri) ketika bergambar bersama yang lain pada Majlis Penyampaian Watikah Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Perdana Putra, Putrajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 24 JANUARI 2018

PUTRAJAYA – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menawarkan khidmat kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk mengawal hutan daripada dicerobohi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan pada masa ini terdapat banyak kawasan hutan di seluruh negara menjadi sasaran oleh oleh pihak tertentu termasuk warga asing.

Pada masa ini, katanya, APM telah merekrut anggota sukarelawan dalam kalangan Orang Asli bagi membolehkan mereka menjaga hutan di kawasan masing-masing.

“APM bagi tawaran secara rasmi bagi pihak kerajaan (untuk kerajaan negeri) mengawal segala kawasan hutan mereka menggunakan anggota kita.

“Setengah daripada anggota APMM kita ambil daripada Orang Asli, mereka akan jaga kawasan hutan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pegawai APM di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktiviti pembalakan haram di kawasan tadahan air di hutan simpan kekal Ulu Muda, Sik, Kedah yang didakwa telah menyebabkan ancaman kepada bekalan air di kawasan utara tanah air.

Mengulas lanjut Shahidan berkata, pihaknya telah menyiapkan laporan berhubung pencerobohan hutan yang berlaku di Sik, Kedah itu bagi diserahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, beliau percaya apa yang berlaku di Sik itu tidak diketahui oleh kerajaan negeri ekoran ia dilakukan oleh warga asing yang mengambil upah daripada pihak tertentu. – MalaysiaGazette