Ong Kim Swee

JOHOR BAHRU – Pengendali Skuad Bawah 23 tahun, Datuk Ong Kim Swee dijangka dihantar ke kelab bolasepak Atletico Madrid di Sepanyol bagi menambah ilmu kejurulatihan pada Mac ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Kim Swee akan dihantar ke Sepanyol menajamkan lagi skil dan pengetahuannya dalam aspek kejurulatihan.

“Kim Swee akan ke Sepanyol pada Mac ini melalui perancangan yang telah dibuat sejak enam bulan lalu berkemungkinan ke Atletico Madrid untuk tempoh sebulan atau dua bulan untuk kursus bagi memantapkan lagi skil coaching beliau,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Book Of Records kepada Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan pemain muda khususnya skuad bawah 23 tahun, Tunku Ismail memberitahu, beliau memberi sokongan penuh kepada mereka untuk melebarkan sayap beraksi di liga luar yang lebih tinggi persaingannya.

Ini kerana, beliau berpendapat, apabila mereka beraksi di peringkat lebih tinggi ia akan memberi kelebihan kepada skuad negara kerana apabila mereka pulang ke tanah air, mereka boleh berkongsi pengalaman yang mampu menyumbanv kepada pasukan negara.

“Bagi pemain daripada skuad 23 tahun saya berdoa dan berharap mereka semua bermain di luar negara. Pada saya sesiapa pun yang dapat peluang atau tawaran untuk beraksi di pertandingan yang lebih tinggi mereka harus pergi jangan duduk sini,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail berharap ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe akan menyerap sebahagian utama pemain skuad bawah 23 ke skuad utama negara supaya pendedahan dapat diberikan kepada mereka.

“Dari awal saya jadi Presiden FAM, saya dah maklumkan, pemain muda ini lah yang akan menjadi masa depan depan negara sebab itu saya tak bagi tumpuan sangat untuk pasukan yang sedia ada.

“Saya harap juga Tan Cheng Hoe dapat ambil beberapa pemain bawah 23 tahun kita untuk mewakili skuad kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette