Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berucap pada Wacana Ekonomi bersama Industri Muzik dan Kreatif Malaysia di Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2018.

HULU KELANG – Kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan memberi perhatian kepada industri muzik dan kreatif dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Jaminan tersebut diberikan Rahman semasa Wacana Ekonomi bersama kumpulan industri itu dengan mengambil peluang mendengar keluh kesah tenaga pekerja dalam industri yang terdiri daripada penyanyi, pelakon drama dan filem termasuk teater dan kru penerbitan serta pengarah.

Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilakukan demi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penggerak industri seni adalah mengubah persepsi dalam kerajaan.

Jelasnya, ini kerana semua penggerak seni membawa pengaruh besar kepada negara bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga imej negara.

“Industri kreatif memang mempunyai isu dan cabaran yang perlu diiktiraf oleh kerana ia bersifat kreatif kadang-kadang kerajaan mungkin tidak nampak pentingnya keutamaan sektor ini.

“Kita terlupa di sebalik dunia glamour ada cabaran kronik yang perlu ditangani.

“Ada boleh dibuat oleh kerajaan tanpa memerlukan perbelanjaan besar ada juga yang memerlukan perubahan minda.

“Kalau kita nak digelar negara maju bukan sahaja negara besar maju tetapi pengisian industri kreatif tidak berkembang tidak boleh juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai wacana.

Kesan positif terhadap perubahan minda kelak tambah Rahman, akan memberi kesan yang positif dan konsisten dalam industri ini, termasuk peruntukan dan penetapan bayaran.

“Beri saya masa untuk bawa perkara-perkara menerusi kertas cadangan yang akan diberikan mereka kepada saya untuk saya bawa ke EPU, Kabinet juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan termasuklah Kememterian Komunikasi dan Multimedia,” ujar beliau.

Penggiat seni dan pengarah filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba menanyakan soalan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada Wacana Ekonomi bersama Industri Muzik dan Kreatif Malaysia di Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2018.

Wacana yang mengambil masa selama empat jam setengah bermula 2:30 petang antaranya mengetengahkan cadangan yang disuarakan penerbit filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba agar peruntukan untuk industri kreatif dinaikkan.

Beliau turut menyarankan agar bayaran kepada pelakon dan pekerja di balik tabir diselaraskan. – MalaysiaGazette