LONDON – Proses perpindahan pemain Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang ke Arsenal terus menemui jalan buntu dalam usaha menjadi pengganti kepada Alexis Sanchez.

Goal.com melaporkan kerana perpindahan tersebut memasuki status tergendala selepas kelab Bundesliga itu tidak berpuas hati dengan tawaran yang dikemukakan oleh kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Dortmund dikatakan tidak bersetuju dengan dua tawaran yang diberikan oleh Arsenal sebelum ini.

Arsenal pada mulanya menawarkan harga €50 juta manakala tawaran kedua dinaikkan kepada €58 juta kepada kelab Jerman tersebut.

Tawaran tersebut hadir bersama pakej penyerang Perancis iaitu Olivier Giroud sebagai pemain pinjaman untuk Dortmund.

Bagaimanapun dua tawaran Arsenal itu tidak memenuhi permintaan asal Dortmund yang meletak harga €70 juta buat Aubameyang.

Arsenal pula tetap yakin mereka akan berjaya mendapatkan khidmat pemain tersebut walaupun menawarkan harga yang lebih rendah.

Setakat ini, Arsenal dikatakan telah bersetuju bersama Aubameyang dari segi terma-terma peribadi.

Namun isu yuran perpindahan sahaja bersama Borussia Dortmund yang menyekat impian penyerang antarabangsa Gabon itu untuk berhijrah.

Selain Aubameyang, Arsenal turut dalam usaha untuk mendapatkan pemain pertahanan West Bromwich Albion iaitu Jonny Evans. – MalaysiaGazette