KUALA LUMPUR – Kira-kira 70 peratus daripada gerabak tren keretapi Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) kelak adalah kargo yang mengangkut barangan termasuk hasil-hasil laut.

Justeru, pengurangan kos dan masa akan membantu mengurangkan harga ikan termasuk di Lembah Klang, kata Pengerusi Pertubuhan Penggerak Nadi Rakyat, Syed Rosli Jamalullail.

Beliau berkata demikian selepas mendapat penjelasan daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kemaman itu mengeluarkan kenyataan ECRL akan menurunkan harga ikan di Lembah Klang dan mendapat kritikan pembangkang termasuk Rafizi Ramli.

Menurut penjelasan dari menteri, kata Syed Rosli, kira-kira 70 peratus dari gerabak keretapi ECRL nanti akan digunakan sebagai gerabak kargo untuk mengangkut hasil laut.

“Untuk makluman semua sejak tiga tahun kebelakangan ini, Jeti Tok Bali di Kelantan telah mencatatkan peningkatan pendaratan ikan yang tinggi iaitu peningkatan sehingga sebanyak 300 peratus,” katanya hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Shabery semalam.

Sekarang, kata Shabery, sebahagian besar ikan yang turun di Tok Bali dihantar ke Thailand dan permintaan tinggi di sana dan mereka memberikan kemudahan logistik yang lebih baik.

Menurut Syed Rosli, peningkatan itu berpunca dari penambahbaikkan prasarana di jeti dan laluan bot serta negara Thailand telah diberikan kad kuning oleh Kesatuan Eropah melalui Pemeriksa Suruhanjaya Maritim mereka semenjak dari tahun 2015.

“Ini adalah kerana Thailand didapati mengeksport ikan mereka melebihi dari sepatutnya mengikut keluasan lautan mereka dan bermakna ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, Shabery menjelaskan, sebelum ini ada segelintir nelayan tempatan yang mendaratkan hasil tangkapan mereka di Thailand kerana memperoleh harga permintaan yang lebih tinggi berbanding di negara sendiri.

“Maknanya dahulu, kita import ikan dari Thailand, sekarang eksport ke Thailand pula.

“Apabila ECRL ini siap kelak,sudah tentu ianya memberikan kesan ekonomi yang baik kepada pelbagai pihak terutama para nelayan dan juga rakyat di Lembah Klang yang cukup dahagakan harga ikan yang murah dan segar,” katanya Syed Rosli.

Malah katanya, negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mendapat tempias ekonomi yang baik daripada projek ECRL.

Menurut Syed Rosli, penjelasan Shabery itu bagi juga menjawab dakwaan Rafizi Ramli dan mengingatkan Naib Presiden PKR itu yang ECRL bukan semata-mata untuk membawa penumpang sahaja.

Rafizi sebelum ini menganggap kenyataan Shabery tidak logik.- MalaysiaGazette

Dakwaan ikan mahal hanya mahu burukkan Ahmad Shabery – NGO