Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

PUTRAJAYA – Kebangkitan umat Islam akan terus berlaku dalam usaha membebaskan Baitulmuqaddis walaupun mendapat tekanan daripada pelbagai pihak, kata Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmuqaddis di sini hari ini, beliau berkata kehadiran lebih 100 ulama dari seluruh dunia pada persidangan itu juga satu manifestasi kesedaran umat Islam dalam usaha menyelesaikan isu Palestin.

“Kita tahu terdapat usaha untuk memperkecilkan perjuangan membebaskan Palestin. Mereka memperkecil-kecilkannya sehingga ke ‘lubang biawak’.

“Namun mereka gagal untuk memberi alasan kukuh bagi mengetepikan isu Palestin ini supaya dilupakan (umat Islam),” katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata tindakan 128 buah negara mengundi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang langkah Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel juga menunjukkan isu Palestin adalah isu semua pihak.- BERNAMA