Md. Alwi

KUALA LUMPUR – Rakyat Kelantan dipinggir daripada arus pembangunan di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana mantan perdana menteri itu mengamalkan sikap ‘siapa tidak sokong, tak dapat apa-apa’.

Ini didedahkan oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan mendakwa majoriti rakyat di Kelantan tidak menyokong Mahathir, segala bantuan untuk pembangunan di negeri itu disekat.

Katanya, perkara itu tidak dilakukan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebaik sahaja mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan kini disambung pula oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Zaman Pak Lah (Tun Abdullah), beliau memperkenalkan projek pembangunan untuk rakyat Kelantan melalui Koridor Pantai Timur. Tapi, beliau tidak lama pegang jawatan (Perdana Menteri) kerana diganggu oleh Mahathir.

“Apabila diganti oleh Najib, beliau mengumumkan rasa kasih dan sayangnya kepada rakyat Kelantan dan berjanji akan membantu negeri ini dengan pelbagai projek pembangunan. Tapi, apa yang dilakukan ini kurang disenangi oleh Mahathir.

“Semua perkara beliau (Mahathir) tidak suka apa yang Pak Lah dan Najib buat. Inilah perangai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kalau tuan-tuan (rakyat Kelantan) nak tahu,” katanya pada Ceramah Perdana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai malam tadi.

Md. Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas berkata, Najib sayang kepada rakyat Kelantan bukan kerana mahu membodek menjelang pilihan raya tetapi memang keluarga bekas isterinya dari negeri itu.

Menurut beliau, Mahathir berada di puncak kuasa bukan selama 22 tahun tetapi 27 tahun termasuk lima tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, sebelum memegang jawatan nombor dua kerajaan,  Mahathir adalah Menteri Dalam Negeri yang mana ketika itu sesiapa sahaja menentangnya akan disumbat dalam penjara.

“Selebihnya tuan-tuan nilailah sendiri. Saya nak tuan-tuan berfikir dengan kata-kata saya ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast