Wong Weng Mun bercakap pada sidang media mengenai tuduhan mencuri jam tangan di Cheras, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 28 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita mendakwa dia mengalami trauma dan tekanan perasaan selepas disoal siasat polis ketika diambil keterangan berikutan laporan kes kecurian jam tangan mewah bernilai hampir RM30,000.

Wong Weng Mun berkata, dia kini berdepan simpton tidak berselera makan dan minum, tidak boleh tidur, tidak boleh berada bersendirian dan perlu ditemani ahli keluarga untuk bergerak.

Dia memberitahu, masalah kesihatannya itu disahkan oleh Klinik Kesihatan Cheras Baru di sini selepas menjalani pemeriksaan mental pada 26 Januari lalu.

“Pada 23 Januari lalu, saya telah dipanggil ke Balai Polis Cheras untuk diambil keterangan bermula pukul 8 malam hingga 3 pagi.

“Apa yang mengejutkan, saya disoal siasat secara kasar dan ugut jika tidak mengaku salah. Saya ditengking dan diancam akan digari dan dimasukkan di dalam lokap jika masih enggan mengaku kesalahan itu.

“Saya hanya mampu menangis selepas itu dan mengalami tekanan perasaan kerana tidak menyangka akan diperlakukan sebegitu,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Wanita MCA Cheras, Heng Sinn Yee di sini hari ini.

Klinik Kesihatan Cheras Baru mengesahkan Wong Weng Mun mengalami tekanan perasaan selepas menjalani pemeriksaan mental pada 26 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Weng Mun berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kes kehilangan jam tangan mewah di syarikatnya pada pada 22 Januari lalu.

Ini kerana dia mendakwa, bagi menyelesaikan kes itu, syarikat telah memberi pilihan kepadanya dengan membuat laporan polis kerana dia dakwa mencuri jam tersebut selain perlu membayar semula jumlah kehilangan wang itu dan mengaku bertanggungjawab.

“Saya terpaksa membuat laporan polis bagi menafikan saya yang bertanggungjawab di atas kehilangan jam tersebut.

“Padahal saya yang menyedari jam itu hilang pada 27 Disember lalu dan terus membuat laporan kepada syarikat.

“Ini kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan saya yang mengambil jam itu selain bilik itu turut boleh dimasuki penyelia dan penyambut tetamu serta mudah diakses,” katanya.

Sementara itu, mengulas insiden itu, Sinn Yee berharap, pihak polis dapat menjalankan siasatan secara profesional dan adil kepada mangsa apatah lagi rakaman CCTV boleh dijadikan bahan bukti.

Beliau berpendapat, majikan Wong Mun mengikut operasi standard piawaian dalam mengendalikan kes kecurian di kalangan pekerja.

Sepatutnya, jelas beliau, semua pekerja perlu disoal siasat selain menunjukkan CCTV yang penuh bermula hari. – MalaysiaGazette