Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Jika pembangkang semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu wakil luar negara dan menceritakan keburukan negara mereka akan dilabel pengkhianat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, beliau hairan dengan sikap bekas perdana menteri tersebut yang mengadakan pertemuan dengan duta-duta besar Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini walhal beliau sangat membantah langkah sedemikian kerana disifatkan mencemar imej negara.

“Saya hairan dan sebab sewaktu Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, dia sangat sensitif sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu berjumpa wakil luar negara.

“Beliau akan menuduh sebagai pengkhianat dan dianggap sebagai campur urusan dalam negara… mungkin dia lupa hari ini dan dia minta pula campur tangan dalam isu negara,” kata beliau semasa sidang media selepas majlis penyerahan gerabak dan landasan keretapi daripada CRRC Zhozhou Locomotive Co. dan Mitsubishi Heavy Industries kepada UniKL dibawah Program Kolaborasi Industri (ICP) hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga mempersoalkan Dr Mahathir mengadakan pertemuan tersebut pada ketika EU membuat keputusan memboikot kelapa sawit negara.

“Kita sedang hadapi masalah apabila Parlimen EU sudah putuskan untuk memboikot pembelian minyak kelapa sawit.

“Tindakan ini sama sekali tidak wajar kerana menjalinkan kerjasama dengan pihak yang menentang kelapa sawit negara,” ujarnya lagi.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia akan mengambil pendirian tegas berhubung isu boikot tersebut kerana ia bakal menjejaskan pekebun kecil khususnya peneroka Felda yang mengusahakan pertanian tersebut.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berkata akan mengambil tindakan lebih tegas kepada mereka kerana ia akan memberi kesan besar kepada pekebun kecil dan peneroka Felda.

“Kita sepatutnya bersatu hadapi tekanan EU ini,” katanya. – MalaysiaGazette