Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan menguncupkan saiz penjawat awam merupakan satu jaminan untuk warga sektor awam mengenai masa depan kerjaya mereka.

Berita gembira itu, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam Datuk Azih Muda turut membuktikan kepekaan mendalam pemimpin nombor satu negara tersebut terhadap peranan dan tanggungjawab yang dipikul penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar dan penyampai perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Beliau bukan sahaja berkata saiz penjawat awam tidak akan dikurangkan, malah menjamin bahawa perkhidmatan pekerja kontrak sedia ada akan diteruskan.

“Ini merupakan satu berita yang cukup signifikan untuk penjawat awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya kerjaya dalam sektor awam harus dilihat sebagai satu khidmat nasional dalam membantu memastikan Malaysia mencapai wawasan menjadi sebuah daripada 20 negara teratas dunia menjelang 2050.

Perdana menteri dalam satu majlis perjumpaan bersama penjawat awam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Kota Bharu semalam turut menyifatkan perkhidmatan awam sebagai benteng dan tulang belakang kerajaan.- BERNAMA